GUA MUSANG - Pelantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Pengerusi DAP Kelantan sememangnya dilihat sebagai strategi parti itu untuk menarik sokongan orang Melayu khususnya di Kelantan.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin berkata, meskipun majoriti rakyat Kelantan sukar untuk menyokong perjuangan DAP namun ia merupakan langkah strategik yang dibuat parti berkenaan bagi mengembangkan pengaruh DAP di Kelantan pada masa depan.
"Beliau (Zaid) sangat terbuka dan berfikiran liberal membuatkan kita tidak terkejut dengan tindakan DAP melantik beliau sebagai Pengerusi DAP Kelantan.
"Karakter beliau sangat sesuai dengan acuan kepimpinan DAP yang memperjuangkan hak kesamarataan atau 'Malaysian Malaysia'.
"Pun begitu, kumpulan Muafakat Nasional tidak boleh menganggap remeh rancangan peluasan pengaruh DAP di Kelantan meskipun majoriti negeri ini didiami orang Melayu kerana kecenderungan rakyat menilai kepimpinan pada masa ini berasaskan kompetensi," katanya dalam satu kenyataan.
Amran yang juga Ketua Penerangan UMNO Gua Musang berkata, penjelasan perlu dibuat kepada rakyat agar ia tidak digunakan sebagai ruang mengembangkan pengaruh.
"Meskipun kita memerlukan sebuah kerajaan yang kompeten tetapi tidaklah sampai menggadai asas-asas kenegaraan Malaysia yang mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan, menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu, memelihara hak-hak keistimewaan orang Melayu dan lain-lainnya," katanya. - SINAR
Join our Telegram Channel