SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan melibatkan ahli parti itu dalam operasi polis awal pagi tadi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya berkata, parti itu memandang serius mengenai perkembangan tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati bersalah dan tidak akan sesekali berkompromi dengan kesalahan dilakukan mana-mana ahli sama ada berjawatan atau sebaliknya.
Terdahulu, tular Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi yang dijalankan awal pagi.
Dalam pada itu, Marzuki turut memaklumkan tarikh penamaan calon sempena pemilihan parti itu yang sepatutnya dijadualkan bermula esok ditangguhkan kepada 26 Januari ini.
Katanya, perubahan itu telah dimaklumkan melalui surat pekeliling kepada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, pimpinan parti di peringkat negeri dan bahagian, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi dan ahli-ahli Bersatu
“Tarikh persidangan cawangan akan dimaklumkan selepas keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Sebarang bantahan dan aduan mengenai penempatan keahlian seperti arahan pentadbiran sebelum ini yang berakhir pada 12 Januari 2020 adalah kekal,” katanya. - SINAR
Join our Telegram Channel