Darurat parlimen adalah wajar - Pemerhati politik - MalaysiaUnfold

Breaking

Tuesday, January 12, 2021

Darurat parlimen adalah wajar - Pemerhati politik

Penulis adalah pemerhati politik tanahair Ab Jalil Backer

Mengapa Saya Menyokong 'Darurat Parlimen' ini
1. Saya lihat banyak orang marah-marah apabila Yang Di Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat Parlimen pada 13 Januari 2021.

2. Kumpulan pertama adalah yang marah kerana perspektif politik menentang kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka ini terdiri daripada kumpulan yang cenderung kepada Pakatan Harapan dan sebahagian fraksi dalam UMNO.

3. Kumpulan kedua ialah rakyat biasa yang tidak mendapat maklumat sebenar mengenai darurat yang diisytiharkan. Mereka beranggapan proklamasi darurat ini akan menyekat kebebasan mereka bekerja, bergerak dan bersosialisasi. Sebahagian lagi beranggapan akan berlaku perintah berkurung dan campur tangan tentera.

4. Bagi kumpulan pertama saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana perspektif politik mereka sangat relevan dan sesuai dengan kepentingan mereka.

5. Bagaimanapun saya ingin memberitahu rakyat biasa yang mahukan kesejahteraan kesihatan dalam mengawal penularan pandemik koronavirus (Covid-19), kestabilan politik dan ekonomi mengapa saya menyokong proklamasi darurat ini.

6. Proklamasi darurat ini hanya menggantung sidang Parlimen. Dengan kata lain tiada perintah berkurung kecuali melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih awal dibuat. Tiada juga campur tangan ketenteraan atau penggantungan pentadbiran eksekutif.

7. Tujuan utama penggantungan Parlimen ini tidak lain untuk memastikan kestabilan politik. Ini kerana sejak Oktober 2020 kerajaan berada dalam tidak stabil dan terdedah dengan khabar angin kejatuhan.

8. Ugutan dan ancaman menjatuhkan kerajaan ini sentiasa diutarakan. Kemuncaknya tentulah seminggu lalu apabila beberapa kenyataan, acara dan perancangan menunjukkan Perdana Menteri boleh hilang sokongan majoriti pada bila-bila masa.
9. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tahu beliau bakal kehilangan sokongan majoriti apabila Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan, membuat sidang media menarik balik sokongan kepadanya Ahad lalu.

10. Beliau tahu selepas Ahmad Jazlan akan ada beberapa orang lagi Ahli Parlimen UMNO akan menarik balik sokongan.

11. Ini terbukti selepas proklamasi darurat semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas (UMNO) mengumumkan penarikan sokongan. Dijangkakan beberapa orang lagi Ahli Parlimen UMNO akan menarik sokongan.

12. Justeru pilihan yang ada ialah mengumpul sokongan Ahli Parlimen Warisan dan Pejuang (12 orang); atau meletak jawatan dan membenarkan satu pemilihan Perdana Menteri baharu diadakan; atau memohon pembubaran Dewan Rakyat.

13. Sudah tentu DYMM YDP Agong sedar membenarkan Muhyiddin mengumpul sokongan baharu dalam kalangan parti lain yang di luar kerajaan (tetapi bukan dalam Pakatan Harapan) akan mendedahkan beliau kepada satu lagi perundingan tarik tali dan permintaan yang bukan-bukan.

14. Pilihan mencari Perdana Menteri baharu sudah tentu milik Anwar Ibrahim. Beliau mempunyai sokongan 91 Ahli Parlimen PH. Dengan sokongan beberapa Ahli Parlimen UMNO, Warisan dan lain-lain beliau mungkin akan mendapat majoriti antara 111-113.

15. Dari segi kestabilan politik masa beberapa bulan akan datang Anwar Ibrahim pula boleh dijatuhkan.

16. Secara peribadi pula, apa sahaja yang boleh menghalang Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri adalah bonus kepada saya dan saya percaya kepada ramai lagi orang.

17. Justeru satu-satunya pilihan yang ada ialah mengadakan pilihan raya umum. Namun ini tidak dapat dilakukan sekarang kerana pandemik Covid-19 sedang memasuki gelombang baharu mencecah ribuan kes sehari.

18. Maka mahu tidak mahu, Yang Di-Pertuan Agong terpaksa mengumumkan penggantungan Parlimen sehingga Ogos ini bagi membolehkan kestabilan politik dapat dipertahankan.

19. Kestabilan politik ini penting dalam membantu usaha kerajaan mengawal penularan pandemik, mengagihkan vaksin dan juga memberi keyakinan kepada komuniti perniagaan.

20. Kestabilan selama lapan bulan ini juga akan membolehkan komuniti perniagaan menguruskan perniagaan mereka dengan lebih yakin. Pelabur kecil juga sedia mengambil risiko menggerakkan semula ekonomi.

21. Ini juga membantu mengelakkan Bursa Malaysia terkena serangan jantung setiap minggu kerana bimbang kerajaan akan jatuh.

22. Hakikatnya Yang Di-Pertuan Agong tiada pilihan yang lebih baik kecuali menggantung Parlimen kerana hampir setiap minggu kerajaan ini berhadapan ugutan dan ancaman untuk dijatuhkan.


Join our Telegram Channel
Telegram