"Dulu nak TV pendidikan, sekarang dah ada, nak apa lagi?"
"Lah, dah dapat free, nak apa lagi?"
"Itulah, siapa suruh anak-anak ramai, sudahnya tak mampu nak bagi pendidikan terbaik kat anak-anak"
Iya, mereka mendapat yang percuma. Iya, mereka mengharapkan yang percuma. Iya, mereka diberikan yang percuma.
Tetapi adakah hanya kerana Didik TV itu satu yang percuma, maka kualitinya boleh diperlekehkan?
Sejak bila kualiti pendidikan itu adalah sesuatu yang boleh diperlekehkan? Sejak bila pula dasar pendidikan itu adalah satu dasar yang boleh diambil mudah sedangkan pendidikan adalah asas kepada pembangunan bangsa?
Hanya kerana ia adalah rancangan untuk kanak-kanak Tahun 2 makanya ia seharusnya membosankan?
Sedarkah mereka ini, sejak PKP 1.0, berapa kali kanak-kanak ini menjejakkan diri ke sekolah?
Sedarkah mereka ini, sejak PKP 1.0, berapa tingginya kemungkinan kanak-kanak ini sudah tepu, lemau, dan hilang motivasi untuk belajar?
Adakah sesuatu yang salah untuk segelintir ibu bapa, rakyat meluahkan dan menuntut kualiti dalam penyampaian ilmu pendidikan?
Jelasnya siaran untuk Didik TV bukanlah murah dan pastinya melibatkan kos yang tinggi.
Jadi tidak salah apabila ada yang fokus kepada kualiti TV pendidikan.
Sekiranya rakyat, ibu bapa golongan susah digesa berlapang dada, kenapa pihak terlibat tidak boleh berlapang dada menerima kritikan? Bukankah kritikan boleh diambil sebagai galakan untuk penambahbaikan?
Menteri Pendidikan, Radzi Jidin
Dan pastinya. Bukan bahasa yang dipertikaikan. Bukan dialek, kepelatan yang dipertikaikan.
Tetapi kualiti penyampaian yang dipertikaikan.
Apabila melihat kualiti penyampaian sehingga "fetus" disalahtafsirkan dengan "infant", ia membuat kita tertanya-tanya - Apakah Visi dilaksanakan Didik TV ini?
Adakah visinya untuk memastikan semua kanak-kanak celik ilmu dan tiada yang tertinggal?
Atau adakah visinya untuk sekadar menutup suara rakyat yang resah dengan sistem PDPR sedia ada?
Dari visi, lahirlah misi-misi. Dan dari misi-misi, lahirlah pelaksanaan. Dan dari pelaksanaan, maka terhasillah pencapaian.
Sekiranya visi adalah untuk kanak-kanak semua dapat mencapai kecemerlangan, pastinya misi pertama dan utama adalah mencari pendidik yang cemerlang sebagai membimbing kanak-kanak ini.
Seperti mana di mana-mana organisasi, instituisi pendidikan juga tidak lari dari kepelbagaian tahap kecemerlangan penjawat-penjawatnya. Dan pastinya di kalangan pendidik-pendidik ini, ada ramai guru-guru cemerlang yang boleh ditampilkan dalam Didik TV.
Mutu pendidikan itu bukanlah satu perkara yang seharusnya dipandang enteng walaupun ianya adalah percuma.
Jujurnya saya melihat netizen terlalu sensitif dengan kritikan terhadap guru sedangkan seperti penjawat-penjawat awam/swasta yang lain, guru juga manusia biasa dan bukan sempurna.
Semestinya kritikan dan maklum balas mengenai satu-satu pencapaian bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa. Ia adalah satu perkara yang normal dalam alam pekerjaaan.
Jadi, tidak salah rasanya untuk Kementerian Pendidikan menerima kritikan dan berlapang dada dengan teguran untuk penambahbaikan apatah lagi apabila Didik TV itu sendiri mewakili imej pendidikan negara kita.
Jenny, Shah Alam
Join our Telegram Channel