AS tidak lagi label China pemanipulasi mata wang - MalaysiaUnfold

Breaking

Monday, January 13, 2020

AS tidak lagi label China pemanipulasi mata wang



WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) semalam menarik balik label pemanipulasi mata wang yang dikenakan ke atas China pada musim panas lalu sebagai langkah simbolik untuk meredakan ketegangan selepas dua kuasa ekonomi dunia itu terlibat dalam perang perdagangan selama hampir dua tahun.

Sementara itu, Jabatan Perbendaharaan AS menerusi laporan semi tahunan mereka yang dibentangkan kepada Kongres memaklumkan nilai Yuan semakin kukuh dan Beijing tidak lagi dianggap sebagai pemanipulasi mata wang.

Ogos lalu, Presiden Donald Trump menuduh Beijing sengaja melemahkan nilai mata wang mereka di bawah 7 Dolar buat pertama kali dalam tempoh sedekad kononnya untuk 'mencuri' perniagaan dan kilang di AS.

Langkah itu dibuat dua hari sebelum Trump dijadualkan menandatangani perjanjian fasa pertama yang menyaksikan China menyatakan komitmen mereka untuk mengelakkan penurunan nilai kompetitif dan tidak menyasarkan kadar pertukaran untuk tujuan bersaing.

Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin dalam satu kenyataan menyatakan perjanjian fasa pertama itu amat penting dan akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang kepada pekerja serta perniagaan AS.

Difahamkan, Wakil Perdagangan China, Liu He dilaporkan tiba di Washington semalam menjelang majlis menandatangani perjanjian penting tersebut pada esok. - AFP

Join our Telegram Channel
Telegram