Najib Razak yang saya kenali - MalaysiaUnfold

Breaking

Thursday, February 11, 2021

Najib Razak yang saya kenali

Salah satu keistimewaan bekerja dengan perdana menteri adalah berpeluang untuk mendengar dengan telinga sendiri wawasan dan harapannya untuk negara.
Untuk mendapatkan ruang masa bersama Najib Razak, untuk “tangkap” moodnya untuk bercerita tentang falsafah dan wawasannya untuk Malaysia tidak mudah kerana beliau teramat sibuk, dan mana masa terluang beliau bermain golf (itu pun semakin jarang menuju Pilihan Raya Umum ke-14) dan berehat bersama keluarga.

Namun, saya berpeluang mendengar beliau menceritakan harapannya.

Pertama kali, selepas suatu mesyuarat di kediamannya, di mana hampir semua telah pulang dan tinggal hanya tinggal dua, tiga orang.

Berhubung Transformasi Nasional 2050, saya bertanya, “Tuan, bagaimana anda mahu melihat Malaysia pada 2050?”

Beliau menjawab, “Saya mahukan Kuala Lumpur menjadi bandar raya utama dunia, lengkap dari segi prasarana untuk semua penghuninya, mudah pergi kerja, mudah untuk beriadah.

“Saya mahukan rakyat bergaji tinggi, ini bermakna mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang tinggi (lebihan pendapatan untuk perbelanjaan tidak wajib); suatu populasi yang membaca, berbudaya tinggi, mengunjungi teater dan pameran seni, dan kita ada perkhidmatan kesihatan yang bertaraf dunia.

“Pentingnya Kuala Lumpur dibangunkan sebegitu kerana kita sudah melihat bagaimana New York, London, dan Tokyo menjadi pemangkin kepada pembangunan seluruh negara; sebuah bandar raya sebegitu akan menarik bakat-bakat yang terbaik yang bersaing untuk menjadi terbaik.

“Penting juga adanya institusi-institusi seni dan kebudayaan, muzium bertaraf dunia, dan taman-taman yang cantik lagi terkenal.

“Saya fikir kita mesti mengurangkan penggunaan tenaga fosil dan kereta seperti di Eropah; kereta api mesti menjadi pilihan rakyat yang pertama bila hendak melakukan perjalanan.

“Di mana landasan keretapi itu lalui, di situ akan ada pembangunan. Bagaimanakah AS berjaya menguasai wilayah baratnya? Mereka membukanya dengan membina landasan kereta api dari timur. Sebab ini juga saya mahukan Lebuh Raya Pan Borneo.”

Begitulah jauhnya pandangan Najib.

Kali kedua saya dapat bersamanya untuk suatu masa yang panjang adalah di dalam pesawat kerajaan dari Kuala Lumpur ke Langkawi – lebih kurang 45 minit.

Pada masa itu, Najib menceritakan kesedihannya konsep 1Malaysia bagaikan tidak diserapi rakyat.

Katanya, “Untuk Malaysia menjadi negara maju, setiap bangsa dan suku kaum mesti menyumbang. Setiap orang ada kelebihan, kita perlu gemblengkan bakat dan kemahiran masing-masing untuk mencipta suatu sinergi yang sangat kuat, barulah kita boleh bersaing dengan berkesan.

“Tetapi untuk ini terjadi, mesti ada kefahaman dan kepercayaan antara kaum.”

Beliau menggeleng tunduk kepala beliau, sambil berkata, “Malangnya, ini sangat sukar untuk dilakukan sekarang.”

Begitulah pandangan Najib.

Menyentuh tentang Kuala Lumpur, Najib tidak menunggu. Usaha-usaha untuk menaikkan taraf Kuala Lumpur pun dimulakan; dengan kawasan sekitar Masjid Jamek, pembinaan semula Taman Tasik (dari belakang Muzium Negara sehingga Istana Selangor), pembinaan Transit Aliran Massa, pemulihan Transit Aliran Ringan dan lain-lain.

Saya masih ingat kata-kata beliau, “Semua ini bukan untuk saya. Saya tidak akan ada lagi pada masa itu tetapi ini untuk anak-anak kita, dan anak-anak mereka, untuk cucu saya dan cucu awak.”

Saya tidak akan lupakan kata-katanya.

Saiful Bahari Baharom adalah bekas pegawai khas kepada perdana menteri, Pejabat Perdana Menteri.

Sumber: FB Saiful Bahari Baharom

Join our Telegram Channel
Telegram