Anwar Ibrahim sahkan wujud rundingan PKR dengan UMNO - MalaysiaUnfold

Breaking

Monday, March 15, 2021

Anwar Ibrahim sahkan wujud rundingan PKR dengan UMNO

KUALA LUMPUR: Desas-desus bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkemungkinan menjalin kerjasama dengan ‘seterunya’ UMNO semakin kuat selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti itu. Menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia terbitan Ahad, Presiden PKR itu berkata, perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.
“(Perbincangan) dengan pimpinan parti dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (UMNO) dan mereka lebih faham kita,” katanya memetik laporan tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO berkata, kerjasama tersebut tidak mustahil berlaku sekiranya ia berlandaskan kepada idealisme dan bukan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan ‘menteri’ UMNO.

Jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, perbincangan itu juga bukan soal saling menerima, tetapi apa yang penting adalah naratif baharu politik yang merangkul semua aspek termasuk melibatkan perpaduan gabungan tersebut.

“Kalau konteks ini difahami, maka kalau kemungkinan kerjasama kita, yang kita lakukan dengan Amanah dan DAP dan kini dengan UMNO yang sehaluan ini, bukan sebab kita nak pertahankan kuasa serta suara-suara pihak tertentu dalam UMNO yang nak pertahankan kedudukan menteri-menteri dia at all cost, sampai boleh meninggalkan pimpinan dan semangat perjuangan parti.

“Tapi kalau mereka terima landasan ini, ia landasan berteraskan idealisme,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada Anwar tidak takut sekiranya percaturan UMNO itu hanya satu strategi politik yang kelak akan memakan diri dan parti, beliau berkata, masih belum ada sebarang keputusan dibuat dan pihaknya masih memberikan ruang.

“Kita lihat beberapa kenyataan pimpinan UMNO agak lebih tegas dalam hal menyelamatkan ekonomi negara dan menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tak sah ini.

“Pada masa sama dasar ekonomi yang seharusnya pro rakyat, itu harus diketengahkan, itu semua nampak selari (antara dua parti ini). “Sehinggakan DAP pun ambil pendekatan yang lebih lunak terhadap kemungkinan kerjasama ini dalam hal-hal yang kita sepakati,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, bekas timbalan Perdana Menteri itu turut mengulas mengenai kenyataan komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang kerap melabel UMNO sebagai perasuah, sekiranya kerjasama tersebut benar-benar berlaku.

Kata pemimpin politik berusia 73 tahun itu, pendakwa hanya membuat tuduhan sebaliknya yang menjatuhkan hukuman adalah hakim. “Rasuah ini, yang menghukum ialah hakim bukan pendakwa. Pendakwa ini buat tuduhan saja, tapi yang menghukum, hakim. Maksudnya, hakim yang bebas (tertawa).

"Jadi kita harus terangkan, isu apa sebenarnya kerjasama PKR-UMNO ini,” katanya.

Justeru, tambah Anwar, apa yang lebih penting adalah untuk semua pihak memahami tujuan sebenar kerjasama PKR-UMNO termasuk memastikan tadbir urus kerajaan yang baik.

“Kedua, isu pemacuan ekonomi atau mempercepatkan proses perubahan ekonomi yang sangat diperlukan oleh negara. Jadi bagi saya kalau kita berpakat untuk selamatkan negara, yang majoritinya orang Melayu dan bumiputera, maka itu diharuskan.”

“Saya tak kira ada suara yang keras menentang. Misalnya, Ronnie Liu dari DAP pun, dia sudah ubah sikit pandangannya. Saya tengok ada kenyataan, dia sebut kita harus sedia bekerjasama asalkan jangan meninggalkan prinsip dan idealisme,” tambah Anwar lagi.

Sehubungan itu, Anwar memberi jaminan akan membuat penjelasan kepada akar umbi dan anggota PKR bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul dalam rancangan kerjasama dengan UMNO. Di pihak UMNO, tentulah pimpinan UMNO harus selesaikan."

“Kalau PKR pula, saya boleh jelaskan kepada akar umbi. Sampai bila kita nak taksub dengan parti, seolah-olah parti sahaja, sedangkan parti itu sebenarnya hanya satu landasan atau wahana (perantaraan) sahaja,” katanya.

Sumber: AWANI

Join our Telegram Channel
Telegram