Beliau berkata, kumpulan itu mencabar keputusan RoS atas alasan lanjutan masa yang diberikan dicemari dengan kesalahan undang-undang, keadaan tidak rasional dan prosedur yang salah. Mohamed Haniff Khatri berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi dan panel hakim Mahkamah Rayuan menyalahletakkan kebergantungan terhadap Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.
Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO terbabit untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kesahan parti politik itu atas alasan Seksyen 18C menyatakan bahawa seorang ahli tidak boleh membawa pertikaian berkaitan parti ke mahkamah.
Bekas ahli UMNO terbabit ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.
Mohamed Haniff Khatri juga berkata, Seksyen 18C tidak terpakai dalam kes ini kerana ia tidak membabitkan keputusan RoS dan hanya terpakai kepada keputusan parti politik.
Terdahulu, panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed membangkitkan isu sama ada keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah betul dari segi fakta apabila bergantung kepada Seksyen 18C serta sama ada seksyen itu relevan dengan persoalan undang-undang yang terdapat dalam rayuan ini.
Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang. Prosiding itu berlangsung menerusi aplikasi Zoom.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan pula berhujah perayu sebenarnya mencabar keputusan parti politik itu sambil menambah permohonan itu dibuat bagi melangkau Seksyen 18C.
Mahkamah turut mendengar hujah berhubung isu locus standi (atau hak perundangan) bekas ahli UMNO terbabit untuk memfailkan semakan kehakiman dan sama ada perkara itu bersifat akademik.
Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berhujah bahawa isu yang dibangkitkan perayu berhubung keputusan anak guamnya yang memberikan pelanjutan masa bagi mengadakan pemilihan parti tidak lagi wujud kerana ia telah dijalankan di semua peringkat pada Jun 2018.
Beliau berkata oleh itu, remedi daripada mahkamah tidak lagi diperlukan kerana ia akan menjejaskan semua pihak dalam parti tersebut dan menambah bahawa kesemua perayu tidak mempunyai locus standi kerana keahlian mereka telah ditamatkan.
Kesemua 16 bekas ahli UMNO telah memfailkan permohonan untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman dan menamakan RoS serta Ab Rauf, dalam kapasiti beliau sebagai penjawat awam, selaku responden.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/120856/BERITA/Politik/16-bekas-ahli-UMNO-cabar-keputusan-RoS © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Join our Telegram Channel